Monday, October 20, 2014

HUKUM MENYENTUH ANJING DALAM ISLAM

KEDUDUKAN ANJING DALAM ISLAM SERTA HUKUM BERKAITANNYA

Islam adalah agama yang membawa konsep kasih sayang dan mengajar umatnya untuk berlaku baik kepada setiap makhluk Allah SWT termasuklah anjing. Haiwan ini tidak dimusuhi Islam dan tidak patut dikasari, dicederakan, dibaling dan sebagainya. Namun di dalam pengamalan Islam di dalam negara ini yang berlandaskan Mazhab Syaf'ie, telah digariskan beberapa peraturan demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan umatnya. Umat Islam hendaklah menghindarkan diri dari melakukan sesuatu yang mengganggu sensitiviti masyarakat setempat dengan mengambil kira adat dan budaya tempatan.


HUKUM MENYENTUH ANJING TANPA SEBAB

Menyentuh anjing tanpa sebarang sebab yang memerlukan adalah haram. Perbuatan ini dinamakan "Al-Tadhammukh Bi Al-Najasah" dan dinyatakan sebagai sesuatu yang dilarang (iaitu haram) jika dilakukan tanpa keperluan seperti antara lain menyelamatkan anjing pemburu atau sebarang jenis anjing tersepit, dalam kebakaran, kemalangan atau apa jua keadaan yang memudaratkan anjing tersebut.


Imam Al-Ramli menyatakan yang bermaksud "Meletakkan (atau menyentuh) najis pada anggota badan adalah haram".

Mazhab Al-Syaf'ie menghukumkan bulu anjing adalah najis. Bagaimanapun jika bulu anjing itu kering tidak perlu seseorang itu menyamak pakaiannya atau tangannya apabila terkena.


HUKUM MEMELIHARA ANJING

Hukum memelihara anjing tanpa sebab-sebab muktabar adalah haram, justeru seorang muslim tidak boleh menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan (pets). Namun, Islam telah memberi beberapa pengecualian daripada hukum asal ini dan membenarkan anjing dipelihara untuk tujuan memburu dan menjaga haiwan ternakan seperti kambing ataupun menjaga ladang dan kebun. Tetapi untuk menjadikan anjing sebagai "teman" yang jinak dan tinggal sebumbung dengan tuannya, Islam tidak membenarkannya dan ia bukanlah suatu situasi keperluan yang mendapatkan pengecualian hukum. Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadith yang maksudnya: "Barangsiapa yang memelihara anjing, kecuali anjing penjaga ternakan atau anjing pemburuan, maka berkuranglah (pahala) amalannya setiap hari sebesar qirat" (ukuran yang amat besar).

Untuk sebarang pertanyaan lanjut sila hubungi Ustaz Iqbal bin Parjin melalui e-mail di albait786@yahoo.com

No comments:

Post a Comment