ANTARA keistimewaan Islam ialah ALLAH Azza wa Jalla
menyediakan ruang secara langsung untuk sesiapa sahaja berhubung,
memohon, merayu, merintih, meminta dan berdoa mengikut keperluan
masing-masing. Sama ada pemimpin atau rakyat biasa, miskin atau kaya,
tua atau muda, orang awam atau orang agama, tidak kira latar bangsa dan
kedudukannya, di mana sahaja dia berada, kutub selatan atau utara; semua
diberikan ruang dan peluang yang sama.
Berdoa terus kepada ALLAH
Mintalah kerana ALLAH itu Maha Mendengar. Pohonlah kerana ALLAH itu
Maha Memakbulkan. Istighfarlah kerana ALLAH itu Maha Pengampun. Malam
atau siang, pagi atau petang, di masjid atau di padang, sambil berdiri
atau baring melintang, ALLAH tetap mendengar apa yang kita minta. ALLAH
itu sangat dekat dengan hamba-Nya, bahkan lebih dekat daripada apa yang
kita sangkakan.
ALLAH bersedia untuk mendengar, bersedia untuk memberi, bersedia untuk
memakbulkan. Bila dan bagaimana? Terserahlah kepada keadilan dan
ketentuan-Nya. ALLAH berpesan kepada Baginda SAW: "Dan apabila hamba-Ku
bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka):
sesungguhnya Aku (ALLAH) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.
Maka hendaklah mereka menyahut seruan-ku (dengan mematuhi perintah-Ku),
dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik serta
betul". (Surah al-Baqarah: 186)
Dalam ayat lain, ALLAH menyatakan: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah
mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh
hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat
lehernya". (Surah Qaf: 16)
Justeru, berhubung dan berdoalah secara langsung kepada ALLAH. Selagi
mana kita bergelar hamba, selama itulah kita mempunyai hak untuk berdoa.
ALLAH tidak pernah mendiskriminasikan hamba-Nya mengikut bangsa, warna
kulit, pangkat, jawatan dan harta. Hanya nilai takwa yang membezakan
antara manusia.
Perantaraan dalam doa
Namun begitu, Islam tetap membenarkan kita untuk mewujudkan perantaraan
dalam berdoa. Hal ini disebut sebagai tawasul. Tawassul berasal
daripada bahasa Arab wasilah, tawassala-yatawassalu-tawassulan. Tawassul
dalam berdoa bermaksud kita menjadikan sesuatu sebagai perantara dalam
doa.
Apakah perkara yang boleh kita tawasul? Ada tawassul yang dibenarkan
dan ada tawassul yang diharamkan, bahkan boleh jatuh kepada kesyirikan.
Tawassul dibenarkan
Pertama: Tawassul dengan nama ALLAH. Hal ini berdasarkan firman ALLAH
yang bermaksud: "Dan ALLAH mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia),
maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu".
(Surah al-A’raf: 180)
Tawassul dengan nama ALLAH itu contohnya kita berdoa: "Ya Ghaffar,
ighfirli" (Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, ampunilah daku). "Ya Rahman
Ya Rahim, irhamni" (Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah Maha Pengasih,
kasihanilah daku".
Tawassul dengan nama-nama ALLAH bermaksud kita memilih dan menyebut
nama-nama ALLAH yang sesuai dengan hajat dan permintaan kita. Dengan
ketinggian dan kemuliaan nama-nama tersebut kita mohon semoga ALLAH
perkenankan hajat kita.
Kedua: Tawassul dengan amalan soleh sendiri. Kita dibolehkan untuk
menyebut amal soleh yang pernah kita lakukan kemudian diikuti dengan
berdoa hajat kita. Diharapkan dengan keikhlasan dan keberkatan amal
soleh tersebut dapat dimakbulkan hajat kita.
Hal ini berdasarkan kisah di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam
al-Bukhari berkenaan tiga lelaki yang terperangkap dalam gua. Ada batu
besar yang menutupi pintu gua tersebut. Lalu, seorang berdoa dengan
mengatakan dia telah taat kepada ibu bapanya, seorang lagi mengatakan
dia hampir berzina tetapi dia tinggalkan zina kerana takutkan azab
ALLAH, orang yang ketiga pula berdoa dengan menyebut dia orang yang
amanah, memegang amanah yang diberikan kepadanya dan mengembalikan
kepada pemiliknya.
Maka dengan amalan soleh itu mereka berdoa kepada ALLAH agar dibukakan pintu gua tersebut.
Ketika orang pertama berdoa, batu yang menutupi gua itu terbuka
sedikit, sehinggalah cukup doa ketiga-tiga mereka, barulah batu itu
berbuka sehingga mereka dapat keluar daripadanya. (Rujuk riwayat
al-Bukhari, no 2272)
Ketiga: Tawassul dengan orang soleh yang masih hidup. Kita boleh
berjumpa dengan orang soleh yang akidah dan amal ibadatnya bertepatan
dengan al-Quran dan sunnah bagi meminta tolong didoakan kepada kita.
Diharapkan dengan kesolehan beliau akan menjadikan doa kepada kita
tersebut dimakbulkan.
Tawassul dengan orang soleh ini dibenarkan dengan syarat orang tersebut
masih lagi hidup. Jika seorang yang soleh meninggal dunia, kita tidak
dibenarkan untuk bertawasul dengan beliau lagi.Sahabat sering meminta
agar Rasulullah SAW berdoa kepada mereka.
Namun, setelah kewafatan Baginda SAW, sahabat tidak pun pergi ke kubur
Rasulullah SAW dan minta untuk didoakan. Contohnya Umar Al-Khatthab
pergi bertemu dengan Abbas bin Abdul Muthalib, bapa saudara Nabi dan
Umar berkata: "Dulu ketika Nabi masih hidup, kami bertawassul dengan
Nabi SAW. Sekarang apabila Nabi telah tiada, orang yang paling mulia
dalam kalangan kami adalah kamu, wahai Abbas. Maka berdoalah kamu untuk
kami". (Rujuk riwayat al-Bukhari, no 3710)
Peristiwa ini terjadi ketika Madinah di landa kemarau panjang. Umar
meminta Abbas berdoa dan beliau pun berdoa. Tidak lama setelah itu,
ALLAH pun menurunkan hujan kepada mereka.
Doa yang dilarang
Tawassul yang dilarang adalah seperti meminta daripada berhala, pokok,
binatang, memuja makhluk, keterlaluan dalam meminta kepada makhluk
sehingga lupa kepada ALLAH, meminta kepada makhluk dan percaya bahawa
makhluk tersebut mengabulkan permintaannya, dan tidak meminta kepada
ALLAH.
Begitu juga bertawassul dengan orang yang telah mati. Diharamkan untuk
kita menjadikan orang yang telah mati sebagai perantaraan dalam doa
kita, walaupun semasa hidup dia seorang yang soleh. Bahkan kepada
Rasulullah SAW sendiri.
Jika dibolehkan sudah pasti Umar al-Khattab tidak berjumpa dengan Abbas
untuk minta didoakan. Umar akan terus ke kubur Baginda Rasulullah SAW
untuk minta didoakan. Rasulullah SAW lebih lagi mulia dan soleh.
Justeru, kata-kata dan tindakan Umar ini menunjukkan tidak disyariatkan
untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati sama ada dengan menyebut
"Madad Ya Rasulallah", "Madad Ya Ali", ‘Madad Ya Husain" dan sebagainya
seperti yang dilakukan oleh golongan Syiah.
Namun, pelik dan hairan ada segolongan manusia yang bertopengkan ajaran
Ahli Sunnah wal Jamaah, berjubah dan berserban, bermati-matian ingin
mempertahankan boleh untuk bertawassul dengan orang yang sudah mati.
Sebab itu golongan ini ada yang mengunjungi kubur tok guru dan
syekh-syekh mereka untuk minta didoakan. Ada yang mengalunkannya dalam
nyanyian dan qasidah.
Semoga ALLAH selamatkan kita daripada hasutan dan ajaran menyeleweng
ini sama ada yang berasal dari negara ini atau yang dibawa dari luar
negara. Berdoalah terus kepada ALLAH kerana ruang itu tidak pernah
disekat. Sesiapa sahaja dan di mana pun kita berada.
Berdoalah dengan penuh keikhlasan, ketulusan dan kejelasan tauhid
kepada-Nya. Jangan sampai ada unsur syirik yang tidak kita sedari.
Yakinlah ALLAH tidak pernah mungkiri janji. Setiap permintaan akan
diberi. Sabar dan terus menanti walaupun sampai akhirat nanti.
-
No comments:
Post a Comment