Translate

Saturday, October 25, 2014

ISU ANJING: MELAYU MASIH MUALAF

USTAZ Hussein Yee mempunyai ijazah pengajian Islam tetapi beliau masih dilabel sebagai cina mualaf. Saya tertarik dengan artikel Tariq Ismail bertajuk Who is Mualaf?

Tariq menceritakan bagaimana seorang Melayu melatah di sebuah surau di Negara China, “Wah, begitu ramai mualaf di China!”

Seorang Cina menegurnya, “Kamu yang sebenarnya mualaf.” Melayu itu terkejut dan soal, “Bagaimana saya ini mualaf sedangkan saya Melayu?” Orang Cina itu jawab, “Kami sudah peluk Islam 1400 tahun yang lalu. Orang Melayu bila peluk Islam?”

Kebanyakan Melayu tidak rasa dirinya masih mualaf kerana menyamakan bangsa dengan agama. Tambah lagi jika komen Tun Mahatir bahawa Melayu itu malas adalah benar. Tetapi bagi saya adalah tidak adil untuk label Melayu itu malas dari semua segi. Ramai Melayu lebih rajin daripada Cina.

Kalau dikatakan malas, saya dapati majoriti mahasiswa kita memang malas membaca buku ilmiah di luar peperiksaan, termasuk aktivis Muslim. Malas membaca bermakna ilmu agama masih ikut-ikutan, tahap mualaf. Berapa mahasiswa kita yang khatam kitab ar-Risalah karangan Imam Shafi’i?

Masalahnya, Muslim bukan ustaz pun rasa dirinya ulama kerana mudahnya menjadi ulama dengan memakai rida, jubah dan bertabaruk dengan kubur wali!

Bayangkan mualaf-mualaf Melayu inilah yang akan menyampaikan ajaran Islam kepada bukan Muslim. Adakah penyampaian mereka ini mampu memperkasakan imej Islam sedangkan diri mereka sendiri rela tidur dalam zon selesa ikut-ikutan?



Dua anak muda bernama Aiman Azlan/Ameen Misran menulis pengalaman peribadi mereka sebagai mahasiswa dalam buku bertajuk, The Other Side of the Coin bahawa “Unfortunately, today we are neck-deep into a system where a student’s worth is defined by the grades he gets and not by how much he learns.”

Bahkan mereka berkata mahasiswa sekarang adalah Educated to Cheat, iaitu dididik untuk menipu. Ini ialah kerana budaya mendapat gred A begitu menekan mereka sehingga sanggup buat apa saja cara untuk dapatkan gred tinggi.

Maka, kita rasa hairan bila sijil menunjukkan pelajar agama mendapat A dalam subjek Bahasa Arab Tinggi tetapi langsung tidak faham surat khabar Arab!

Kita lihat bagaimana acara sentuh anjing baru-baru ini disahut golongan mualaf Melayu. Arus perdana memberi hujah-hujah  tentang keharaman sentuh anjing yang hanya memberi gambaran berupa mantera yang diulang-ulang yakni bangsa Melayu adalah terlalu sensitif, tidak rasional, mudah tergugat akidah, mudah keliru, takut berfikir dan malas membaca.

Saya yakin ramai Melayu yang hebat, berfikir kritis tetapi gambaran yang ditonjolkan ialah Melayu masih mualaf. Maka, haramkan saja sentuh anjing atas nama menjaga warisan Melayu sebelum tergugat aqidah mualaf Melayu ini.

Apakah impak penjenamaan ini pada dakwah? Adakah Islam diturunkan untuk melalaikan Melayu dalam zon kemualafan selama-lamanya sehingga malas membaca tidak dinajiskan pula? Islam gagal mematangkan umatnya?

Profesor terulung negara, Tan Sri  Prof Dr Mohd Kamal Hasan dalam bukunya Voice of Islamic Moderation from the Malay World mengkritik budaya Melayu yang berusaha sekadar cukup makan, iaitu tidak bersungguh-sungguh dalam tajdid. Maka, Prof telah membuat diagnosis, iaitu pondok-pondok agama lebih condong kepada sufisme yang kurang bersifat rasional daripada jiwa Andalusia yang saintifik dan ilmiah.

Golongan mahasiswa kita sepatutnya memimpin umat kita supaya nampak khairu ummahnya dalam isu anjing ini. Kemalasan mahasiswa kita berfikir di luar kotak membuktikan universiti kita gagal mendidik mahasiswa menjadi khairu ummah (umat terhebat) iaitu mampu berfikir luar warisan dan rajin membaca.

Kalau mahasiswa kita berani berdemonstrasi menuntut hak berpolitik ala demokrasi Barat, mengapa begitu dayus, tidak berani menuntut hak berfikir di luar kotak warisan agama Melayu?

Sekiranya Imam Shafie seorang Melayu, adakah dia akan mengasaskan mazhab baharu atau terus terkubur dalam zon selesa mazhab gurunya, Imam Malik, tidak berani lawan fatwa gurunya yang berpendapat anjing itu suci?

Takut tergugat aqidah, takut mengelirukan umat, takut memecahbelahkan rakyat dan seribu macam ketakutan!

No comments:

Post a Comment

My Blog List