KEDUDUKAN ANJING DALAM ISLAM SERTA HUKUM BERKAITANNYA
Islam adalah agama yang membawa konsep kasih sayang dan mengajar umatnya untuk berlaku baik kepada setiap makhluk Allah SWT termasuklah anjing. Haiwan ini tidak dimusuhi Islam dan tidak patut dikasari, dicederakan, dibaling dan sebagainya. Namun di dalam pengamalan Islam di dalam negara ini yang berlandaskan Mazhab Syaf'ie, telah digariskan beberapa peraturan demi menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan umatnya. Umat Islam hendaklah menghindarkan diri dari melakukan sesuatu yang mengganggu sensitiviti masyarakat setempat dengan mengambil kira adat dan budaya tempatan.
HUKUM MENYENTUH ANJING TANPA SEBAB
Menyentuh anjing tanpa sebarang sebab yang memerlukan adalah haram. Perbuatan ini dinamakan "Al-Tadhammukh Bi Al-Najasah" dan dinyatakan sebagai sesuatu yang dilarang (iaitu haram) jika dilakukan tanpa keperluan seperti antara lain menyelamatkan anjing pemburu atau sebarang jenis anjing tersepit, dalam kebakaran, kemalangan atau apa jua keadaan yang memudaratkan anjing tersebut.

