Banjir di Cameron Highlands: 20 kediaman, 20 kenderaan terjejas dan rosak
CAMERON HIGHLANDS: Polis mengesahkan 20 kediaman dan 20 kenderaan terjejas dan rosak akibat banjir lumpur di Kampung Baru Ringlet di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kediaman dan kenderaan yang terjejas adalah yang berada di tebing Sungai Ringlet di kampung berkenaan.
Beliau berkata, enam keluarga terdiri daripada 26 penduduk di penempatan itu dipindahkan ke
Dewan Ringlet manakala selebihnya menumpang di rumah keluarga atau sanak saudara masing-masing.
PEMANDANGAN dari atas menunjukkan paras air Sungai Bertam tidak berubah selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam.
"Kita menerima maklumat kejadian itu jam 6.30 petang semalam yang berpunca hujan lebat antara jam 6 hingga 7 petang, menyebabkan limpahan air Sungai Ringlet memasuki rumah yang berada di tepinya di kampung berkenaan.
"Tidak lama selepas itu sebanyak 41 keluarga terdiri daripada 177 penduduk di sekitar Lembah Bertam turut dipindahkan ke dewan sama sebagai langkah berjaga-jaga.
"Ia berikutan pelepasan air dari Empangan Sultan Abu Bakar untuk menstabilkan takungan air di empangan itu malam tadi yang mencapai paras bahaya.
"Jadi bagi mengelak bahaya, air empangan terpaksa dilepaskan melalui Sungai Bertam.
"Berikutan itu polis mengambil langkah keselamatan dan langkah awal diambil dengan memindahkan mereka yang tinggal di Lembah Bertam," katanya.
PENDUDUK Lembah Bertam melihat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bertam Valley dinaiki air selepas pintu empangan dibuka susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam.
Wan Mohd Zahari yang turut mengesahkan pelepasan air masih dilakukan awal pagi tadi berkata, jika mengambil kira keseluruhan mangsa kediaman terjejas banjir dan mereka dipindahkan sebagai langkah keselamatan, bilangan penduduk yang berada di dewan berkenaan adalah seramai 203 orang.
Beliau berkata, penduduk berkenaan hanya akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila keadaan air empangan stabil.
"Keadaan di sini terkawal dan air mula surut," katanya.
AIR Sungai Bertam yang melimpah selepas empangan dibuka bagi mengelakkan banjir yang lebih besar di Cameron Highlands.
SEBAHAGIAN daripada 181 mangsa banjir membabitkan 42 keluarga daripada Kampung Baru Ringlet, Pekan Ringlet dan Kampung Ulu Merah ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet, Cameron Highlands.
KERETA dihanyutkan akibat banjir lumpur di Pekan Ringlet susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam.
KERETA dihanyutkan akibat banjir lumpur di Pekan Ringlet susulan hujan lebat di beberapa kawasan di sekitar Cameron Highlands sejak lewat petang semalam.
No comments:
Post a Comment